Saturday, August 30, 2008

PERUTUSAN YB MP & KPPM

PERUTUSAN YB DATO’ SRI HISHAMMUDDIN BIN TUN HUSSIEN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-51
TAHUN 2008
Bismillah-ir Rahman-ir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera.
1. Marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-51 pada tahun ini.

2. Sesungguhnya dengan kemerdekaan negara, barulah kita mempunyai peluang yang luas untuk membangunkan dan memajukan diri mengikut hasrat dan cita-cita kita sendiri. Tidak mungkin seorang yang tidak merdeka seperti seorang hamba mempunyai kebebasan untuk melakukan apa yang dikehendakinya. Tidak mungkin seorang hamba boleh menentukan masa depannya, malah kehidupan sehariannya, makan dan minum, tidur dan pakai, semua ditentukan oleh tuannya.
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

3. Kita bersyukur dengan perjuangan nenek moyang kita dan pejuang-pejuang terhahulu membolehkan negara kita dimerdekakan. Selepas diberikan kemerdekaan tentulah perkara yang paling penting dan yang lebih susah adalah untuk mengisi kemerdekaan negara, bukan sahaja untuk memastikan pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara tetapi juga bagi memastikan bangsa dan negara kita terus merdeka baik dari segi fizikal, budaya, ekonomi rohani, psikologikal dan intelektual.

4. Bagaimanapun semua ini tidak dapat dipertahankan sekiranya kita tidak mempunyai ilmu pengetahuan, pegangan yang teguh dan jati diri yang kukuh. Dalam hal ini, pendidikan memainkan peranan penting untuk membangunkan warganegara dan modal
insan yang diharapkan.

5. Dalam dunia global hari ini, maju atau mundurnya sesebuah bangsa dan negara ditentukan oleh modal insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dan berjati diri teguh. Inilah yang dikehendaki oleh kerajaan dan segala perancangan bagi memastikan hasrat ini dicapai telah dinyatakan dengan jelas di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

6. Melalui PIPP, kita ingin melahirkan modal insan yang perlu mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai ketahanan diri serta berkebolehan untuk berdepan dengan persekitaran global yang bersifat dinamik dan mencabar. Saya percaya murid-murid yang cemerlang ilmunya juga cemerlang akhlak dan sahsiahnya. Oleh itu, saya berharap agar semua murid berusaha bersungguh untuk menuntut ilmu, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta memiliki sahsiah dan akhlak yang terpuji. Ingatlah bahawa anak-anak sekaranglah yang akan meneruskan kepimpinan negara dan memajukan Negara di masa akan datang.
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

7. Impian dan harapan bagi melahirkan modal insan yang benar-benar merdeka ini, tidak akan tercapai sekiranya tidak ada penggemblengan tenaga oleh semua pihak terutama ibu bapa, guru-guru dan masyarakat sekeliling. Dalam konteks pendidikan, kita tidak boleh menolak sama sekali hakikat bahawa guru-gurulah memegang peranan utama sebagai penggerak dan pemangkin bagi merealisasikan segala cita-cita tersebut.

8. Tentulah bagi menunaikan tanggungjawab yang besar ini, guru perlu melengkapkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran serta memiliki ciri-ciri integriti dalam menjalankan tugas-tugas seharian mereka. Guru-guru juga perlu sentiasa ikhlas, jujur, amanah dan sanggup memikul tugas yang dipertanggungjawab tanpa mengenal erti penat lelah demi memajukan anak bangsa.
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

9. Selain pendidikan, kemerdekaan dapat dipertahankan hanya dengan memastikan perpaduan dan keharmonian di dalam negara. Lidi, jika hanya sebatang, begitu mudah dipatahkan. Biri-biri jika terlepas dari kawanan begitu mudah dimangsakan oleh serigala. Kata orang-orang tua, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Begitulah hakikatnya di dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita. Belajarlah dari sejarah, perpecahan akan mendatangkan kekacauan dalam negara. Kekacauan akan mengundang campur tangan kuasa asing, yang seringnya berakhir dengan kompromi yang menyebabkan negara hilang kuasa dan hilang kemerdekaan kepada kuasa asing.

10. Setiap orang, termasuk guru dan murid bertanggungjawab dan mempunyai peranan yang penting bagi memastikan perpaduan antara kita semua, rakyat Malaysia, sentiasa terpelihara. Sebagai warganegara Malaysia, jika kita mahu terus mempertahankan kemerdekaan negera, maka kita wajib bersatu padu, wajib menjaga keharmonian kaum dan wajib menjaga keamanan negara; dan segala-galanya ini tidak boleh kita lakukan jika kita mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi dan tidak berusaha memupuk semangat hormat-menghormati dan bertolak ansur di antara satu sama lain.

11. Sebenarnya tidak ada pihak yang akan rugi sekiranya sifat-sifat terpuji tersebut diamal dan dipraktikkan dalam masyarakat, bahkan jika kita berusaha memupuk nilai-nilai ini sejak usia muda lagi insya-Allah, kita kan hidup aman sentosa, negara boleh
dibangunkan, kemajuan dalam pelbagai bidang boleh dicapai, seterusnya negara akan menjadi kuat dan maju sehingga mampu mempertahankan kemerdekaannya.
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

12. Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang penuh bersejarah ini, saya mengajak warga pendidikan bersama-sama menginsafi perubahanperubahan mendadak yang berlaku dalam kehidupan kita hari ini. Mahu tidak mahu, kita juga perlu mengubah sikap untuk menangani perubahan mendadak ini.

13. Sebagai contoh, ketika ini dunia sedang dilanda krisis makanan dan kenaikan harga minyak. Oleh itu kita perlulah menanam sikap berjimat cermat dan mengamalkan cara hidup yang lebih bersederhana. Elakkan diri daripada pembaziran kerana amalan pembaziran bukan sahaja merugikan kita, malah boleh menggoncang kekuatan ekonomi negara.

14. Sehubungan dengan itu, kita juga mesti mengubah mentaliti kita kepada pemikiran lebih optimis iaitu sentiasa berfikiran ke hadapan. Misalnya, jika dahulu kita beranggapan bahawa kemajuan negara banyak bergantung kepada penghasilan barangan seperti barangan elektronik, tetapi hari kita wajar melihat industri asas tani sebagai peluang pekerjaan baru yang boleh mendatang hasil yang lumayan kepada kita, selain boleh membantu negara kita mengurangkan kebergantungan terhadap bahan-bahan makanan yang diimport.
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

15. Kita sebagai pewaris bangsa, perlulah bersamasama berganding baru melaksanakan tanggungjawab kita demi menjamin kemerdekaan negara yang kita cintai sampai bila-bila. Semoga kita semua dapat bersama-sama berusaha mengisi dan mempertahankan kemerdekaan tanah air sehingga ke akhir hayat kita. Selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke- 51.
MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabaratuh



PERRUTUSAN KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-51
TAHUN 2008
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.

1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya kita dapat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 pada tahun ini dalam suasana yang aman damai dan sejahtera. Inilah detik yang terbaik bagi kita mengenang kembali sejarah kemerdekaan Negara yang telah berjaya melepaskan diri daripada cengkaman penjajah. Nikmat yang sedang kita kecapi pada ketika ini bukan diperoleh dengan cara yang mudah tetapi hasil daripada pengorbanan dan perjuangan para pemimpin kita pada masa lampau. Selaku rakyat Malaysia, kita harus berbangga kerana negara kita telah menjadi sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat. Pada hari ini , negara kita telah membangun dengan pesat serta mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah negara yang paling maju dalam kelompok negaranegara membangun.

2. Pada hari ulang tahun sambutan kemerdekaan ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia bertekad dan mengekalkan keazaman serta bersatu padu untuk mempertahankan kemerdekaan yang kita miliki. Untuk mengekalkan keharmonian, kita hendaklah bersatu padu, bekerjasama, bertoleransi, saling memahami tanggungjawab kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama. Di samping itu, semangat setia kawan juga memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan tanpa mengira warna kulit, darjat, keturunan dan agama. Kita dapat hidup dalam keadaan harmoni dan makmur ibarat seberkas rotan akan menjadi teguh apabila diikat dengan rapi.

3. Kemerdekaan negara tidak akan bererti sekiranya kita masih dibelenggu oleh masalah sosial. Perbuatan seperti vandalisme, merempit, membuli, penagihan najis dadah dan sebagainya dapat dibendung sekiranya murid-murid mempunyai akhlak yang mulia dan berperibadi tinggi. Hari ini, masalah nilai akhlak menjadi krisis sejagat dan global. Maka dengan bimbingan dan pengajaran guru, murid boleh mengamalkan nilai-nilai yang baik dan tidak bertentangan dengan agama, budaya, adab sopan, moral dan disiplin sekolah. Perkara inilah yang diharapkan oleh ibu bapa, masyarakat dan negara untuk dilaksanakan oleh para pendidik supaya dapat melahirkan murid yang cemerlang dalam pelajaran dan pada masa yang sama mengamalkan pekerti yang mulia.

4. Sesungguhnya akhlak yang mulia, perpaduan dan keharmonian rakyat dalam negara yang berbilang kaum ini menjadi agenda utama dalam pembangunan pendidikan negara. Maka generasi muda terutamanya murid-murid dengan bimbingan guru perlulah mempersiapkan diri sekarang untuk memimpin negara pada masa akan datang. Murid-murid perlu mempunyai sikap berdikari dan tidak senantiasa bergantung kepada orang lain untuk mencapai kejayaan dan tidak mudah pula terpengaruh dengan sebarang perkara negatif. Murid-murid perlu mengambil contoh pejuangpejuang negara pada masa lalu yang sanggup berkorban demi kebebasan dan kesenangan generasi akan datang. Kita perlu mengambil iktibar bahawa semua yang diperjuangkan oleh mereka, semata-mata untuk memastikan generasi akan datang tidak mengalami penderitaan seperti yang ditanggung oleh mereka pada masa dahulu.

5. Kenikmatan yang kita kecapi selepas kemerdekaan tidak akan membawa makna sekiranya rakyat kurang berpengetahuan. Saya amat berharap agar semua warga sekolah mengamalkan budaya membaca. Membaca penting kerana berupaya menambah ilmu
pengetahuan dan penguasaan bahasa, sekali gus dapat meningkatkan prestasi akademik murid-murid. Bacalah bahan bahan yang berkualiti, bernilai tinggi dan bermaruah demi
persiapan diri untuk kecemerlangan. Membaca jambatan ilmu dan ilmu pula ibarat suluh yang menerangi jalan yang membawa kita kepada kebahagiaan. Tanpa suluh, sudah pastilah kita akan terabaraba dan sesat di dalam kegelapan. Oleh itu pupuklah amalan membaca dan belajarlah rajin-rajin demi masa depan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

6. Selain berilmu dan berpengetahuan, murid juga perlu aktif dalam kegiatan kokurikulum yang bertujuan membentuk diri pelajar yang seimbang. Menerusi aktiviti kokurikulum murid dapat diterapkan dengan nilai-nilai yang positif seperti berdisiplin, bersemangat patriotik, bekerjasama, bertanggungjawab, memimpin, serta mampu mengeluarkan pendapat. Murid-murid perlu mengambil peluang daripada kemudahan prasarana dan program yang disediakan untuk menceburi dan bergiat aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan di sekolah dan di peringkat yang lebih tinggi. Adalah menjadi harapan negara agar modal insan yang dilahirkan memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi di samping berketrampilan dari segi sahsiah dan personalitinya.

7. Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, marilah kita sama sama menghayati tema kemerdekaan “Malaysiaku Gemilang’ dan memperkukuh keazaman untuk menghadapi dan mengatasi sebarang cabaran yang mendatang. Kita mestilah kembali ke arah pembentukan sahsiah dan jati diri yang bermaruah, berdisiplin, berdaya saing dan berwawasan agar tamadun bangsa Malaysia sentiasa mendapat pengiktirafan dan menjadi ikutan masyarakat dunia. Isilah kemerdekaan tersebut dengan bijaksana. Jadikanlah diri kita warga negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. MALAYSIAKU GEMILANG.
MERDEKA…MERDEKA…MERDEKA…
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabaratuh

TITAH DYMM SPB YDP AGONG- MERDEKA 2008

TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI AL-MARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE-51

Bismillahir Rahmannir Rahim , Al-hamdulillahi Rabbil ‘Alamin , Wabihi Nasta’in •
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan salam sejahtera •

1. Alhamdulillah ,, Beta memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala ,, kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya ,, dapat Beta bersama-sama seluruh rakyat jelata , khususnya warga pendidik dan murid-murid untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-51 pada tahun ini • Sesungguhnya , marilah kita bersama-sama melahirkan rasa syukur dengan penuh keikhlasan dan memastikan nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama ini terus berkekalan •

2. Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-51 ini , sayugia Beta mengimbas kembali sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara • Berkat kerjasama dan permuafakatan antara pihak Raja-raja Melayu , pejuang kemerdekaan dan rakyat jelata dalam usaha memastikan bumi bertuah ini memperoleh kemerdekaan daripada penjajah Inggeris telah berjaya akhirnya •

3. Beta percaya sejarah yang telah berlalu harus menjadi ikhtibar dan perlu dihayati oleh seluruh rakyat jelata , khususnya murid-murid sebagai generasi pewaris supaya memahami bahawa “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”. Justeru setelah negara mencapai kemerdekaan untuk kali ke-51 pada tahun ini , hargailah “Institusi Raja Berpelembagaan” yang menjadi payung penyatuan bangsa Malaysia dalam menjamin kesejahteraan dan kemakmuran hidup • Marilah kita sama-sama berganding bahu membina bangsa dan negara kita supaya lebih maju •

4. Beta penuh yakin bahawa tidak ada jalan lain yang lebih penting dalam usaha memastikan kemerdekaan negara bertuah ini terus berkekalan • Hanya perpaduan dan toleransi antara rakyat menjadi asas kepada kemakmuran negara kita • Lantaran itu , sayugia Beta mengajak semua warga pendidik agar dapat mendidik murid-murid supaya menghayati erti hidup dalam keadaan bersatu padu dan bertolak ansur • Melalui didikan ini , Beta yakin generasi pewaris mampu menyambung usaha-usaha pejuang bangsa untuk memastikan negara terus merdeka , sejahtera dan makmur • Oleh itu , marilah ditanamkan falsafah hidup “bagai aur dengan tebing” dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah” dalam kalangan murid-murid di sekolah •

5. Dalam usaha kita menuju Wawasan 2020 untuk menjadikan negara yang dicintai sebagai negara maju yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain di dunia ini , pelbagai cabaran dan dugaan datang bersilih ganti • Namun begitu , atas berkat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan pemimpin dan rakyat jelata , satu persatu cabaran dan dugaan tersebut dapat dihadapi bersama-sama •

6. Kini sekali lagi kesetiaan kita kepada negara diduga apabila iklim ekonomi dunia datang membadai • Lantaran itu , kesejahteraan dan kemakmuran hidup di negara ini telah dirobek akibat berlakunya kenaikan harga barang pengguna dan bahan bakar secara mendadak • Namun begitu , Beta penuh yakin bahawa rakyat Malaysia yang mempunyai kesetiaan tanpa berbelah bahagi dan jati diri yang kental mampu bersama-sama menghadapi dan menangani dugaan yang melanda •

7. Justeru , Beta menyeru seluruh warga pendidik supaya membuang segala perbezaan pendapat dan perlu berfikiran rasional untuk membimbing murid-murid dalam menghadapi sebahagian daripada cabaran dunia globalisasi ini • Oleh itu , Beta mengajak seluruh warga pendidik dan murid-murid supaya bersama-sama dengan pemimpin untuk berhemah dalam perbelanjaan • Amalan berbelanja secara berhemah dan menjauhi pembaziran menjadi satu kemestian dalam kehidupan kerana inilah satu-satunya senjata kuat untuk menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu •

8. Beta percaya kedaulatan negara yang kita cintai ini tidak terletak dalam tangan bangsa dan masyarakat luar • Sebaliknya , kemerdekaan negara ini hanya terletak di tangan kita sendiri • Percayalah , kita sahaja yang mampu menjamin nasib dan kedaulatan negara bertuah ini • Sehubungan dengan ini, Beta menyeru agar rakyat jelata , khususnya warga pendidik dan murid-murid dapat meletakkan kedaulatan negara di tempat tertinggi • Inilah keutamaan yang mesti kita tanamkan dalam diri murid-murid sebagai generasi pewaris • Sesungguhnya , cabaran terhadap kedaulatan negara daripada pihak luar mudah dikesan berbanding dengan cabaran yang datang daripada kalangan rakyat kita sendiri • Sikap “seperti musang berbulu ayam” dan “duri dalam daging” hendaklah segera dikesan sebelum “nasi menjadi bubur” •

9. Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 pada tahun ini , besarlah harapan Beta agar seluruh rakyat khususnya para guru dan murid-murid supaya dapat menghayati tema sambutan , iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan” • Namun begitu , untuk memastikan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ terus bersemarak kita mestilah mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara , iaitu: a. Kepercayaan kepada Tuhan; b. Kesetiaan kepada Raja dan Negara; c. Keluhuran Perlembagaan; d. Kedaulatan Undang-Undang; e. Kesopanan dan Kesusilaan.

10. Beta percaya prinsip-prinsip dalam Rukunegara yang telah lama dihayati oleh seluruh warga Malaysia sejak 31 Ogos 1970 perlu disemarakkan dan dipertahankan • Hal ini adalah kerana prinsip-prinsip Rukunegara tersebut telah terbukti menjadi teras dan asas pembinaan rakyat Malaysia yang bersatu padu , setia dan gemilang •

11. Malaysiaku Gemilang bukan hanya boleh digapai dengan slogan dan semangat semata-mata • Sebaliknya , penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran , mampu membawa rakyat dan negara tercinta ini terus cemerlang , gemilang dan terbilang • Justeru Beta bertitah kepada para guru supaya dapat menurunkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada kepada murid-murid • Beta yakin ilmu dan pengetahuan yang diberikan kepada murid-murid dengan penuh ikhlas dan amanah akan menjadikan mereka sebagai modal insan dengan minda kelas pertama • Lantaran itu , hasrat untuk melihat Malaysia gemilang sebaris dengan negara-negara maju di persada dunia akan tercapai • Jauh daripada hasrat ini , Beta yakin murid- murid ini mampu menyelamatkan Malaysia daripada ancaman anasir luar •

12. Akhir titah , marilah kita bersama-sama memantapkan keazaman untuk memajukan Negara yang kita cintai ini • Hayatilah tema sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 ini , iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan” dengan harapan Negara akan maju , berdaulat , sejahtera , makmur dan gemilang • Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia •
Sekian ,,
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh •

5S PENGIKTIRAFAN