TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI AL-MARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE-51
Bismillahir Rahmannir Rahim , Al-hamdulillahi Rabbil ‘Alamin , Wabihi Nasta’in •
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan salam sejahtera •
1. Alhamdulillah ,, Beta memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala ,, kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya ,, dapat Beta bersama-sama seluruh rakyat jelata , khususnya warga pendidik dan murid-murid untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-51 pada tahun ini • Sesungguhnya , marilah kita bersama-sama melahirkan rasa syukur dengan penuh keikhlasan dan memastikan nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama ini terus berkekalan •
2. Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-51 ini , sayugia Beta mengimbas kembali sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara • Berkat kerjasama dan permuafakatan antara pihak Raja-raja Melayu , pejuang kemerdekaan dan rakyat jelata dalam usaha memastikan bumi bertuah ini memperoleh kemerdekaan daripada penjajah Inggeris telah berjaya akhirnya •
3. Beta percaya sejarah yang telah berlalu harus menjadi ikhtibar dan perlu dihayati oleh seluruh rakyat jelata , khususnya murid-murid sebagai generasi pewaris supaya memahami bahawa “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”. Justeru setelah negara mencapai kemerdekaan untuk kali ke-51 pada tahun ini , hargailah “Institusi Raja Berpelembagaan” yang menjadi payung penyatuan bangsa Malaysia dalam menjamin kesejahteraan dan kemakmuran hidup • Marilah kita sama-sama berganding bahu membina bangsa dan negara kita supaya lebih maju •
4. Beta penuh yakin bahawa tidak ada jalan lain yang lebih penting dalam usaha memastikan kemerdekaan negara bertuah ini terus berkekalan • Hanya perpaduan dan toleransi antara rakyat menjadi asas kepada kemakmuran negara kita • Lantaran itu , sayugia Beta mengajak semua warga pendidik agar dapat mendidik murid-murid supaya menghayati erti hidup dalam keadaan bersatu padu dan bertolak ansur • Melalui didikan ini , Beta yakin generasi pewaris mampu menyambung usaha-usaha pejuang bangsa untuk memastikan negara terus merdeka , sejahtera dan makmur • Oleh itu , marilah ditanamkan falsafah hidup “bagai aur dengan tebing” dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah” dalam kalangan murid-murid di sekolah •
5. Dalam usaha kita menuju Wawasan 2020 untuk menjadikan negara yang dicintai sebagai negara maju yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain di dunia ini , pelbagai cabaran dan dugaan datang bersilih ganti • Namun begitu , atas berkat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan pemimpin dan rakyat jelata , satu persatu cabaran dan dugaan tersebut dapat dihadapi bersama-sama •
6. Kini sekali lagi kesetiaan kita kepada negara diduga apabila iklim ekonomi dunia datang membadai • Lantaran itu , kesejahteraan dan kemakmuran hidup di negara ini telah dirobek akibat berlakunya kenaikan harga barang pengguna dan bahan bakar secara mendadak • Namun begitu , Beta penuh yakin bahawa rakyat Malaysia yang mempunyai kesetiaan tanpa berbelah bahagi dan jati diri yang kental mampu bersama-sama menghadapi dan menangani dugaan yang melanda •
7. Justeru , Beta menyeru seluruh warga pendidik supaya membuang segala perbezaan pendapat dan perlu berfikiran rasional untuk membimbing murid-murid dalam menghadapi sebahagian daripada cabaran dunia globalisasi ini • Oleh itu , Beta mengajak seluruh warga pendidik dan murid-murid supaya bersama-sama dengan pemimpin untuk berhemah dalam perbelanjaan • Amalan berbelanja secara berhemah dan menjauhi pembaziran menjadi satu kemestian dalam kehidupan kerana inilah satu-satunya senjata kuat untuk menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu •
8. Beta percaya kedaulatan negara yang kita cintai ini tidak terletak dalam tangan bangsa dan masyarakat luar • Sebaliknya , kemerdekaan negara ini hanya terletak di tangan kita sendiri • Percayalah , kita sahaja yang mampu menjamin nasib dan kedaulatan negara bertuah ini • Sehubungan dengan ini, Beta menyeru agar rakyat jelata , khususnya warga pendidik dan murid-murid dapat meletakkan kedaulatan negara di tempat tertinggi • Inilah keutamaan yang mesti kita tanamkan dalam diri murid-murid sebagai generasi pewaris • Sesungguhnya , cabaran terhadap kedaulatan negara daripada pihak luar mudah dikesan berbanding dengan cabaran yang datang daripada kalangan rakyat kita sendiri • Sikap “seperti musang berbulu ayam” dan “duri dalam daging” hendaklah segera dikesan sebelum “nasi menjadi bubur” •
9. Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 pada tahun ini , besarlah harapan Beta agar seluruh rakyat khususnya para guru dan murid-murid supaya dapat menghayati tema sambutan , iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan” • Namun begitu , untuk memastikan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ terus bersemarak kita mestilah mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara , iaitu: a. Kepercayaan kepada Tuhan; b. Kesetiaan kepada Raja dan Negara; c. Keluhuran Perlembagaan; d. Kedaulatan Undang-Undang; e. Kesopanan dan Kesusilaan.
10. Beta percaya prinsip-prinsip dalam Rukunegara yang telah lama dihayati oleh seluruh warga Malaysia sejak 31 Ogos 1970 perlu disemarakkan dan dipertahankan • Hal ini adalah kerana prinsip-prinsip Rukunegara tersebut telah terbukti menjadi teras dan asas pembinaan rakyat Malaysia yang bersatu padu , setia dan gemilang •
11. Malaysiaku Gemilang bukan hanya boleh digapai dengan slogan dan semangat semata-mata • Sebaliknya , penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran , mampu membawa rakyat dan negara tercinta ini terus cemerlang , gemilang dan terbilang • Justeru Beta bertitah kepada para guru supaya dapat menurunkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada kepada murid-murid • Beta yakin ilmu dan pengetahuan yang diberikan kepada murid-murid dengan penuh ikhlas dan amanah akan menjadikan mereka sebagai modal insan dengan minda kelas pertama • Lantaran itu , hasrat untuk melihat Malaysia gemilang sebaris dengan negara-negara maju di persada dunia akan tercapai • Jauh daripada hasrat ini , Beta yakin murid- murid ini mampu menyelamatkan Malaysia daripada ancaman anasir luar •
12. Akhir titah , marilah kita bersama-sama memantapkan keazaman untuk memajukan Negara yang kita cintai ini • Hayatilah tema sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 ini , iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan” dengan harapan Negara akan maju , berdaulat , sejahtera , makmur dan gemilang • Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia •
Sekian ,,
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh •
No comments:
Post a Comment