Saturday, February 14, 2009

Temuduga masuk SBP ambilan kedua




Semua Pengetua di semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara telah diberi kuasa untuk menemuduga bakal pelajar yang akan memasuki tingkatan satu di sekolah masing-masing bermula 19 Januari ini.

Langkah itu yang pertama kali diwujudkan dilihat sebagai peralihan kuasa secara beransur-ansur dari Kementerian Pelajaran kepada pihak sekolah sejajar pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang memberi kuasa kepada sekolah memilih calon pelajar.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, berbanding kemasukan ke sekolah kluster yang akan turut diberi kuasa sedemikian, SBP melaksanakan peraturan yang lebih ketat bagi kemasukan pelajarnya.

``Untuk kemasukan SBP pelajar wajib mempunyai keputusan UPSR yang cemerlang iaitu 5A,’’ katanya.

Temuduga yang diadakan itu adalah untuk pengambilan kedua pelajar tingkatan satu yang memohon kemasukan melalui pihak sekolah.

Pengambilan tersebut merupakan 20 peratus daripada kesemua pengambilan pelajar tingkatan satu bagi setiap SBP.

Pengambilan pertama pelajar tingkatan satu ke SBP di seluruh negara adalah melalui prosedur biasa oleh Kementerian Pelajaran.

Antara kriteria yang akan diberi perhatian semasa temuduga ialah kepetahan pelajar bercakap selain berupaya memberi pandangan.

Selain itu, aktiviti kokurikulum juga ditekankan dengan penumpuan pelajar yang pernah mewakili sekolah ke peringkat negeri seperti dalam pertandingan bahas, syarahan dan sukan.

Pengetua juga boleh memilih sama ada untuk mengendalikan temuduga dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

Selain keputusan cemerlang UPSR pemilihan pelajar akan turut melibatkan latar belakang keluarga masing-masing iaitu kelebihan kepada pelajar daripada latar belakang keluarga yang miskin dan dari kawasan pedalaman serta luar bandar.

Difahamkan setiap SBP memperuntukkan kira-kira 25 sehingga 30 tempat untuk pengambilan kedua pelajar tingkatan satu namun pihak sekolah menerima lebih 300 permohonan untuk temuduga itu.

Selain kuasa untuk memilih pelajar tingkatan satu, para Pengetua SBP juga dijangka akan diberi kuasa untuk menemuduga calon pelajar bagi tingkatan empat sekolah masing-masing.

Menurut Alimuddin, kelebihan pelaksanaan temuduga itu ialah ia memberi peluang kepada pihak sekolah untuk memilih pelajar yang mempunyai daya kepimpinan.

``Selain itu mereka boleh memilih pelajar yang mempunyai nilai kebitaraan sekolah masing-masing sama ada sukan, pancaragam atau bahas,’’ katanya.

Namun tegas Alimuddin, yang penting ialah temuduga itu sendiri dapat menilai sama ada pelajar itu berminat atau terpaksa memohon memasuki SBP atas desakan ibu bapa.

``Daripada pengalaman yang lalu kita menerima banyak aduan mengenai pelajar yang tidak mahu berada di SBP tetapi dipaksa oleh ibu bapa dan ini menimbulkan pelbagai isu,’’ katanya.

Pada UPSR 2008, sebanyak 46,000 pelajar memperoleh keputusan 5A dan 6,000 tempat disediakan untuk pelajar tingkatan satu di 54 buah SBP di seluruh negara.

Namun begitu empat buah SBP iaitu Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Sekolah Menengah Sains (SMS) Muar, SMS Seremban dan SMS Seri Puteri tidak menawarkan tempat untuk pelajar tingkatan satu.

No comments:

Post a Comment