Monday, June 1, 2009

10 subjek SPM

Kemuka pandangan syor had subjek SPM: Alimuddin

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, meminta semua pihak mengemukakan pandangan berhubung kewajaran langkah kerajaan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi emel beliau sendiri, iaitu

alimuddin.dom@moe.gov.my.

Katanya, ibu bapa, individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan semua yang terbabit boleh berbuat demikian dalam tempoh dua minggu bermula hari ini.“Dalam tempoh dua minggu ini saya akan mendengar pendapat semua pihak sebelum menyiapkan satu kertas kerja bagi dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.“Timbalan Perdana Menteri akan meneliti hasil kertas kerja itu sebelum ia kemudiannya akan dibentangkan kepada kabinet bagi tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Sekolah Angkat di sini, hari ini.Konvensyen itu adalah program kerjasama antara Kementerian Pelajaran dan GITN Sdn Bhd dengan memilih sebanyak 25 buah sekolah di luar bandar bagi diberi pendedahan penggunaan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Minggu lalu, Muhyiddin berkata mulai tahun depan calon SPM hanya dibenar mengambil maksimum 10 mata pelajaran mulai tahun depan.Beliau berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.Bagaimanapun, katanya, kementerian masih membuka ruang perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung perkara berkenaan terutama membabitkan penentuan mata pelajaran teras dan elektif yang bakal diambil pelajar SPM untuk semua aliran pendidikan.Alimuddin berkata, pengumuman kerajaan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon SPM bukanlah keputusan akhir, sebaliknya ruang masih dibuka bagi membolehkan semua pihak memberikan pandangan peribadi.Katanya, pandangan semua pihak itu penting bagi memastikan sebarang keputusan yang diambil tidak memberi kesan terhadap proses pembelajaran dan masa sepan pelajar.Ditanya subjek teras SPM yang akan digugurkan selaras keputusan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran yang boleh diambil calon peperiksaan itu, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan.“Sebab itu kita masih membuka ruang dan kementerian mahu melihatnya dari semua sudut sebelum kita memutuskan untuk melaksanakannya,” katanya.Ketika ini, calon SPM wajib mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral.

No comments:

Post a Comment