Wednesday, December 10, 2008

cerita lama - anisah abdullah


ARKIB : 27/03/2000
Kisas kekalkan kecemerlangan STPM

ANISAH (tengah) berkongsi kegembiraan bersama kedua ibu bapanya di Klang, Selangor baru-baru ini.
Peratus pelajar yang mendapat 5 prinsipal (5P) ialah 93.1 peratus manakala 4P dan 3P ialah 3.45 peratus daripada 58 calon yang menduduki peperiksaan tersebut.
Peratus ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas iaitu 5P sebanyak 89 peratus, 4P ialah 12 peratus dan 3P sebanyak 1 peratus.
Menurut Penolong Kanan I KISAS, Datin Aminah Zakaria, beliau berpuas hati dengan pen-capaian pelajarnya pada tahun ini yang menunjukkan peningkatan dari segi kualiti.
"Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak sekolah bagi memastikan kecemerlangan pelajar seperti mengadakan kelas tambahan, klinik mata pelajaran, sistem angkat guru dan pelajar (mentor mentee) dan sebagainya,'' katanya.
Pelajar terbaik KISAS yang mendapat 5A, Anisah Abdullah menyatakan kejayaannya adalah hasil usaha yang berterusan sejak dari tingkatan enam bawah dan bimbingan guru-gurunya serta berkat doa kedua ibu bapanya.
Beliau yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik tidak menjangka sama sekali akan mendapat keputusan 5A memandangkan beliau begitu aktif berpersatuan, menjawat jawatan ketua pelajar dan ketua pengarang majalah sekolah.
"Saya mengamalkan belajar secara berkumpulan di sebelah petang dan pada waktu malam saya peruntukkan belajar sendiri.
Di samping itu, saya sentiasa melakukan solat hajat,'' tambahnya yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di bidang bahasa dan linguistik di universiti tempatan.
Beliau yang ditemani ibu bapanya, juga merupakan guru di sekolah tersebut menyatakan kesungguhan, konsentrasi semasa belajar dan sentiasa mengingati Allah adalah rahsia untuk mencapai kejayaan.
Pelajar yang mendapat 4A 1C, Mohd. Firdaus Azizan melahirkan rasa syukur di atas kejayaannya dan berterima kasih kepada guru-guru yang banyak memberi bimbingan serta ibu bapa yang memberi semangat kepadanya.
Beliau mengatakan, tumpuan penuh semasa guru mengajar dan entiasa bertanya perkara yang tidak difahami merupakan amalan pembelajarannya.
Rakannya, Johari Abdullah yang mendapat 3A 2C menambah, belajar pada awal pagi iaitu selepas Subuh dan sentiasa berbincang merupakan salah satu cara pembelajaran yang berkesan.
Manakala di Sekolah Tinggi Kelang, peratus kelulusan pela-jar adalah sebanyak 96.1 peratus dan peratusan ini menunjukkan kemerosotan pencapaian sekolah berkenaan berbanding tahun lepas iaitu 99.53 peratus.
Pelajar-pelajar sekolah tersebut yang ditemui menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru yang banyak membimbing mereka.
D. Maruthu yang mendapat 5A daripada aliran sains menyatakan pembahagian masa yang bijak dan kesungguhan adalah kunci kejayaannya.
Beliau yang merupakan anak kedua daripada enam orang adik beradik belum pasti untuk menyambung pelajaran di mana-mana jurusan.
Rakannya, Heng Sui Wooi yang mendapat 4A 1B menyatakan, latihan yang banyak, menyediakan nota ringkas dan tidak menangguhkan masa ulang kaji merupakan kunci kejayaannya.
Beliau berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kimia di institusi pengajian tinggi tempatan.
Pelajar daripada aliran sastera, Lim Teng Haw yang mendapat 4A 1C berkata, kerajinan dan kesungguhan adalah kunci bagi kejayaannya.

No comments:

Post a Comment