(ADAPTASI NASIHAT DAN BIMBINGAN SYEIKH ALI THANTAWI UNTUK PUTERI-PUTERIKU)
Wahai puteriku…..
Aku seorang bapa yang sedang berjalan memasuki usia 50 tahun. Usia muda telah aku lewati, aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan Haq(kebenaran) yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.
Wahai puteriku….
Banyak aku menulis, sering aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.
Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan aku khutbahkan… sehingga pena yang aku gunakan tumpul dan lidahku menjadi kelu. Namun, tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.
Di setiap pelusuk negara, perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda Negara demi Negara, tanpa satu pun Negara Islam yang mampu mengelak,
Sebagai contoh, Negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yang sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutp auratnya, sekarang Masya-Allah!!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya?
Sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya.
Wahai puteriku,
Pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu ada di tanganmu. Jika engkau menyakini dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah dan menjadi baik. Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa, bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah maju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.
Engkau berkata kepada pencuri: “Silakan masuk”…. Dan setelah engkau kecurian barulah engkau sedar. Ketika itu barulah engkau berteriak…. “Tolong…. Tolong….. aku kecurian”.
Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu serigala dan engkau ialah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.
Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki itu adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspadanya seorang yang kikir terhadap pencuri.
Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar dari daging kambing….dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.
Lelaki menghendakinya yang paling berharga darimu… iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.
Wahai puteriku….
Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu telanjang dihadapannya tanpa pakaian.
Aku bersumpah lagi: “Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab. Bohong…. Bohong…. Bohong…. Demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan di antara mereka, pasti engkau akan takut dan ngeri.
Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.
Apakah sesudah itu wahai puteriku?
Renungkanlah!!!
Kamu berdua, bersama-sama berasmara, menikmati kelazatan yang hanya sebentar kau rasakan….sesudah itu, dia lupa dan pergi meninggalkan engkau. Dan engkau….akan merasakan pahitnya daripada pertemuan yang sebentar itu untuk selama-lamanya. Dia pergi dengan diam-diam meninggalkanmu, mencari mangsa baru untuk dirayu dan diterkam lagi kegadisannya… sambil dia mencari dan menikmati mangsa baru, engkau perlahan-lahan merasakan sesuatu yang berat menganjal di perutmu.
Engkau sedih dan muram.
Engkau bingung dan gelisah.
Lelaki yang membesarkan perutmu itu tidak dituntut atau dihukum oleh masyarakat yang zalim, bukan….diberi keampunan dan dibiarkan bebas dengan alasan: “Dia yang dahulu sesat, tetapi sekarang sudah bertaubat”.
Tapi engkau………?
Engkau akan terus kecewa dan terus dihina sepanjang usiamu. Masyarakat tidak akan mengampuni dosamu.
Seandainya ketika dia mula merayumu, engkau tolak dengan sikap yang tegas….engkau alihkan pandanganmu dari pandangannya… seandainya sikapmu itu tidak menghentikan usahanya dan malah bersikap lebih biadap dengan mengucapkan kata-kata yang jelik dan menggunakan tangannya, cepa-cepat engkau tanggalkan kasut dari kakimu dan pukullah kepalanya… kalau engkau lakukan itu, pasti semua orang yang ada di sekitar itu akan serentak menolongmu.
Sesudah itu… dia akan ngeri mengganggu wanita terhormat di jalan.
Wahai puteriku,
Lelaki yang baik dan soleh, akan datang kepadamu, dengan segala kerendahan hati, memohon kemaafan, menawarkan kepadamu hubungan yang halal dan terhormat. Dia datang untuk meminang dan mengahwinimu.
Seorang gadis betapa tinggi pun kedudukan, betapa pun banyak hartanya, betapapun hebat kebenaran dan pengaruhnya, dia pasti mempunyai cita-cita. Mencapai kebahagian yang tinggi iaitu bersuami, menjad isteri yang solehah, terhormat dan ibu kepada rumahtangga yang baik.
Cita-cita seperti itu pasti diharapkan oleh semua wanita, tak kira sama ada dia seorang ratu, keluarga raja, bintang filem Hollywood ataupun wanita biasa.
Aku mengenali 2 orang sasterawati dari Mesir dan Syria. Kedua-duanya bergelar tokoh. Ilmunya dikagumi, kekayaannya melimpah ruah, tinggi kedudukan dan kehormatannya. Kedua-duanya telah kehilangan suami..namun, tiba-tiba hilang keseimbangan akalnya… dan menjadi gila. Tak perlu ku sebut namanya, pasti semua orang Mesir dan Syria sudah mengenalinya.
Perkahwinan adalah cita-cita yang paling tinggi bagi wanita. Jawatan wanita yang tinggi sama ada sebagai anggota parlimen, menteri atau bahkan sebagai presiden, tahapnya tetap berada di bawah perkahwinan.
Lelaki pada dasarnya akan mencari wanita terhormat dan bukan wanita jalang atau rosak akhlaknya. Seandainya seorang lelaki bertunang dengan wanita yang baik, tetapi wanita itu tiba-tiba berubah akhlaknya, menyeleweng dan masuk ke dalam perangkap nista, pasti dengan segera lelaki itu pergi meninggalkannya. Dia akan tegap melangkah keluar. Lelaki yang baik, pasti tidak rela melihat anaknya keluar dari rahim ibunya yang keji dan apatah lagi untuk membesarkan dan memelihara anaknya.
Seorang pemuda jalang yang bejat dan menjijikkan, apabila tidak mendapati mangsa gadis yang mahu mengorbankan kehormatan dirinya di bawah tapak kakinya menjadi alat permainannya… dan apabila dia juga tidak memperolehi wanita pelacur atau gadis lalai yang rela mengahwini dengan agama syaitan dan iblis serta mengikut syariat binatang. Pasti dia akan mencari jodoh dengan seorang isteri yang perlu dinikahi dengan alasan sunnah dan syariat Islam.
Puteriku, suasana sepi dan lesunya pasar pernikahan dan perkahwinan, penyebabnya adalah kerana kesalahanmu sendiri. Jatuhnya pasaran dan nilai perkahwinan dan semakin pesat bursa pelacuran adalah kerana perbuatanmu!
Lantas, kenapa kamu yang berakhlak mulia tidak mencegahnya?
Kenapa kamu para wanita yang mulia dan terhormat tidak memerangi musibah dan wabak itu?
Kamu para wanita tentu lebih berkebolehan dan berkemampuan bertindak daripada kaum lelaki.
Kamu sebagai wanita terhormat, mulia, memiliki harga diri dan memegang teguh agama, pada akhirnya akan menjadi mangsa dan korbannya.
Hampir di setiap rumah di Negeri Syam terdapat gadis-gadis pada usia yang layak berkahwin belum mempunyai calon dan gadis yang sudah lewat usianya belum juga berkahwin.
Para pemudanya merasa puas dengan hanya berpacar-pacaran dan bergaul bebas daripada beristeri. Mungkin keadaan seperti ini juga terdapat di Negara-negara Islam yang lain.
Wahai puteriku,
Dirikanlah wadah dalam bentuk lembaga dan persatuan dari kalangan kamu sendiri yang anggotanya terdiri daripada para cendiakawan, guru dan mahasiswa. Wadah yang berusaha untuk mengembalikan wanita-wanita sesat kepada jalan kebenaran.
Ancam dan dan takutkan mereka dengan firman-firman Allah. Sekiranya mereka tidak mahu mendengar dan tidak merasa takut lagi, maka berilah gambaran bahaya penyakit yang akan dideritainya.
Kalau mereka tidak peduli, berikan penjelasana dan contoh-contoh kenyataan yang ada, katakan kepada mereka:
“Anda remaja cantik, ramai pemuda yang tertarik dan mengharapkan anda. Kecantikan anda seperti sekarang ini apakah akan terus bertahan?
Bagaimana nasib anda nanti setelah tua? Ketika muka anda sedang kerepot dan badan membongkok? Siapakah nanti yang akan menguruskan anda? Siapakah ketika itu akan memperhatikan nasib anda? Tahukah anda, siapa yang akan menghormati dan memuliakan orang tua yang tidak berdaya lagi? Hanya anak dan cucu-cucunya! Di tengah-tengah mereka, orang tua sepertinya menjadi ratu di antara rakyat, bermahkota, duduk di singgahsana.
Bagaimana nasib anda jika terus begini?
Bagaimana derita anda di kemudian hari? Anda lebih tahu dari kami.
Cuba anda renungkan “Apakah boleh disamakan lazatnya berhubungan yang sebentar sahaja nikmatnya itu dengan penderitaan-penderitaan anda?
Apkah patut, harga diri anda(gadis) dibayar begitu murah dan penderitaan anada setelah itu ditebus dengan harga sebegitu mahal?
Saya rasa, anda cukup mampu mengarahkan dan memberi petunjuk pada kawan-kawan yang tersesat dan perlu dikasihani. Saya tidak perlu berlama-lama memberi kata-kata bimbingan kepada anda. Saya yakin, anda sendiri tentu mempunyai banyak bahan untuk melakukan penyelamatan.
Sekiranya segala usaha penyelamatan yang dilakukan kepada mereka tidak membawa hasil. Ya cukuplah..anda perlu menukar sasaran. Lakukan penyelamatan kepada mereka yang belum terkena. Cegah mereka dari serangan penyakit menular itu. Pada umumnya, penyakit seperti itu mudah menyerang wanita-wanita lalai dan gadis yang menginjak dewasa. Bimbinglah mereka agar tidak tersesat jalan.
Apa yang anda lakukan adalah secara bertahap. Saya tidak mengharapkan anda mengajak para wanita Islam melakukan perubahan yang drastic, sekali nasihat terus berubah menjadi muslimah sejati. Segalanya hendaklah dengan wajar, perlahan dan mencapai sasaran.
Biasanya, adalah mustahil dengan memberi sekali kefahaman kemudian dapat mengubah haluan. Kembalikanlah dia kepada kebaikan selangkah demi selangkah, sebagaimana dia sebelumnya sedikit demi sedikit menuju kepada kejahatan.
Kamu semua sedikit demi sedikit memendekkan pakaian, di kaki dan di tangan. Kamu juga menipiskan kain tudung. Dan prosesnya berjalan perlahan-lahan selama ber abad-abad. Sebaliknya, kaum lelaki tidak melihat dan merasakan perubahan itu seperti apabila kita perhatikan jam dinding. Kita dapat lihat jarum pendek seolah-olah tidak bergerak. Tetapi apabila anda datang setelah 2 jam anda akan lihat jarum itu bergerak. Begitu juga peralihan dari masa kanak-kanak menjadi remaja dan usia muda kepada tua, seolah-olah tidak boleh diikuti dengan indera. Demikianlah berubah satu ummat manusia, dari satu keadaan kepada keadaan lain yang berlaku secar berperingkat.
Majalah dan surat khabar perosak akhlak terus beredar dan semakin meluas. Para penganjur keosakan moral bersorak gembira kerana berjaya meraih kemenangan besar dalam pertandingan. Kini, kita telah sampai pada batas yang tidak lagi diredhai Islam.
Jika anda membaca sejarah, anda tidak akan menemui keadaan seperti ini. bahkan, kaum Majusi pun tidak mengenali kebebasan yang sedemikian itu. Binatang yang tidak mempunya akal pun, tidak sehina manusia masa kini.
Dua ayam jantan akan bersabung mempertahankan nyawa untuk berebut ayam betina demi menjaga kehormatannya. Tetapi manusia, dengan dalih kebebasan mengorbankan harga dirinya. Dijual dengan harga yang murah, tubuh dan kehormatannya.
Kita ambil contoh yang dekat saja, tak perlu melangkah jauh ke Negara-negara Barat. Kita pergi ke pantai dan lihat betapa wanita –wanita muslimah mempertontonkan tubuhnya. Hampir seluruh tubuhnya diperlihatkan. Kecuali dua bahagian yang tertutup. Malah ada yang lebih berani membuka bahagian atasnya. Tontonan seperti itu ada di mana-mana. Di Negara Muslim atau di Negara yang majoritinya Muslim.
Di tempat pesta atau kelab malam di mana keluarga “moden” datang, menari berganti pasangan, saling bertukar isteri untuk bergoyangan dna berpelukan, berhimpitan dada, perut, dan mengenggam tangan. Tidak ada perasaan malu dan memberi harga kepada diri mereka sendiri. Di sekolah atau di universiti, terdapat juga pergaulan bebas. Para puteri membuka sebahagian aurat tanpa pencegahan ibubapanya. Contoh-contoh seperti yang aku sebutkan itu hanyalah sebahagian dari fenomena yang berlaku. Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang beraneka ragam yang pasti anda juga melihatnya. Semua itu tak mungkin diubah sekelip mata. Maka kita memerlukan cara khusus dan proses waktu untuk menghilangkannya. Jalan yang tepat yang perlu ditempuhi adalah kembali kepada hak dan kebenaran dengan melalui jalan yang boleh membawa kepada kebaikan. Jalan tersebut memang memakan masa yang lama dan lambat. Tetapi itulah satu-satunya jalan yang mesti dilalui.
Usaha awal kita membanteras pergaulan bebas dan pembukaan aurat. Bagi wanita yang bergaul bebas tetapi masih memakai tudung dan menutup aurat, penggarapannya lebih mudah. Mereka yang bertudung diusahakan agar tudung dan pakaian muslimah yang dipakainya tidka diniatkan untuk meningkatkan kecantikan dan menggoda lelaki.
Perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai pergaulan bebas adalah: Seorang wanita menerima tetamu lelaki di rumahnya. Manakala di tempat umum, berjabat tangan dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Bersama-sama pergi atau pulang dari sekolah(kuliah, berbual secara bebas, berkumpulan dengan dalih belajar bersama). Semua itu tergolong dalam pergaulan bebas. Dan merupakan sumber malapetaka kehancuran akhlak.
Cara pergaulan seperti itu dianggapnya biasa. Dia lupa bahawa Allah menciptakannya sebagai wanita dan yang lain ialah lelaki. Masing-masing mempunyai kecenderungan dan daya tarikan. Tidak ada satu makhluk di muka bumi ini yang dapat mengubah ciptaan Allah atau membuat persamaan di antara keduanya ataupun menghilangkan kecenderungan(hasrat) dari pihak masing-masing.
Wanita-wanita menganjurkan persamaan hak dan pergaulan bebas, menuntut persamaan di atas dasar kemajuan dan tuntutan persamaan di atas dasar kemajuan dan tuntutan zaman adalah pembohongan besar. Mereka sebenarnya hanya mencari kepuasan nafsu sahaja. Mereka beranggapan, bahawa kaum lelaki lebih mendapat kenikmatan daripada wanita. Kerana itu mereka berusaha untuk merasakan kenikmatan itu.
Mereka tidak berani untuk menyatakan secara terang-terangan. Mereka sembunyi hasrat itu dan yang ditonjolkan ialah isu “tuntutan zaman”, “seni budaya”, “kehidupan kampus”, “alam mahasiswa atau pelajar”. Mereka gembar-gemburkan perkara ini seperti suara beduk kosong yang tidak membawa sebarang pengertian.
Hak yang mereka tuntut adalah batil. Mereka menjadikan Amerika dan Eropah sebagai kiblat dan pemimpin kemajuan. Apa-apa pun yang datang dari sana maka itu adalah lebih baik dan tepat. Eropah mengirimkan tarian, diterima! Mengirimkan model pakaian telanjang, ditiru! Percampuran bebas di kampus, mempertontonkan paha, dan dada di kolam renang dan di tepi pantai dipandang wajar. Sebaliknya, yang datang dari timur dipandang jelik dan batil, walaupun itu adalah pancaran dari suara masjid, bimbingan dan tuntutan agama, kehormatan dan harga diri, kebersihan dan kemuliaan jiwa, hati dan jasmani serta penutupan aurat sebagai pelindungan dan harga muslimah.
Kita sebagai orang Timur menerima mentah-mentah apa yang datang dari Barat. Tapi sebahagian orang Barat menolak “produknya” sendiri. Masyarakat Eropah dan Amerika, sebahagiannya menolak pergaulan bebas. Mereka sangat menjaga pergaulan anak-anaknya. Di Paris, kebanyakkan orang tua melarang puterinya keluar bersama pemuda untuk ke pawagam misalnya. Ada juga yang muak jika menonton filem lucah. Di Amerika, ramai orang tua yang memilih sekolah khusus untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah yang bercampur dengan pemuda. Mereka juga mengawal jika puteri-puterinya pergi berenang.
Wahai puteriku,
Itulah nasihatku yang hak dan benar,
Mudah-mudahan engkau mahu mendengar,
Jangan engkau dengar ungkapan yang lain,
Yang mengajak kepada kelalaian,
Hanya di tanganmu wahai puteriku,
Bukan di tangan kami kaum lelaki,
Hanya di tanganmu kunci pintu kebaikan,
Sekiranya engkau mahu memperbaiki dirimu,
Maka pasti seluruh ummat akan menjadi baik.
No comments:
Post a Comment