Friday, April 3, 2009

SKIM TAKAFUL

BAHAGIAN SEKOLAH
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
PARAS 5, BLOK J (SELATAN)
PUSAT BANDAR DAMANSARA
50604 KUALA LUMPUR

Tel : 03-2556900
Fax : 03-2562389
Kawat : “PELAJARAN”
Ruj. Tuan :
Ruj. Kami : KP(BS)8591/Jld.VIII / (85)
Tarikh : 21 Julai 1995

Semua Pengarah Pendidikan Negeri
Yang Berbahagia Datuk/Tuan,

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 3/1995 :
Pelaksanaan Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok
Bagi Semua Pelajar Sekolah Kerajaan Dan Bantuan Kerajaan

1. Pendahuluan
1.1 Kementerian Pendidikan begitu prihatin mengenai pelbagai risiko kemalangan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar sekolah ketika dalam perjalanan pergi dan balik sekolah. Begitu juga sewaktu mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kegiatan sekolah.
1.2 Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok Bagi Semua Pelajar Sekolah Kerajaan dan Bantuan Kerajaan telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 21 Jun 1995.
1.3 Skim ini akan berkuatkuasa mulai sesi persekolahan 1995/1996. Kadar bayaran bagi seorang pelajar ialah RM1.50 setahun dan akan dimasukkan bersama dalam bayaran yuran persekolahan tahunan.

2. Jangka Masa Perlindungan
2.1 Tempoh perlindungan bermula dari hari pertama persekolahan dan berkuatkuasa selama setahun dan akan berterusan pada tahun-tahun berikutnya sehingga tamat persekolahan.
2.2 Skim ini menyediakan perlindungan 24 jam sehari semalam dan meliputi seluruh dunia.

3. Penyertaan
3.1 Peserta skim ini adalah semua pelajar sekolah rendah dan menengah yang berdaftar di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.
3.2 Perlindungan ke atas pelajar-pelajar ini tamat serta merta apabila pelajar tersebut berhenti atau diberhentikan dan menjadi pelajar berdaftar di sekolahsekolah yang dinyatakan di atas.

4. Bayaran
4.1 Kadar sumbangan/bayaran takaful ialah RM1.50 seorang setahun. Pelajar dikehendaki membayar sumbangan takaful sekolah. Sekolah hendaklah menyerahkan pembayaran tersebut terus kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk disampaikan kepada Ibu Pejabat Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. (STMSB). Bagi melicinkan sistem pemantauan, salinan surat penghantaran
tersebut hendaklah dihantar kepada Pegawai Pendidikan Daerah.
4.2 Pihak sekolah hendaklah mengutip pembayaran ini seperti mana kutipan yuran lain mengikut proses dan prosedur yang sedia ada di sekolah.
4.3 Pengetua/Guru Besar hendaklah memasukkan bayaran takaful ini ke dalam borang permohonan kutipan yuran untuk diluluskan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah yang mana berkenaan seperti dilakukan setiap tahun. Adalah menjadi lebih baik jika kelulusan ini diperolehi sebelum sesi persekolahan akan datang bermula. Proses ini adalah untuk mempercepatkan pembayaran skim perlindungan ini.
4.4 Semua pembayaran mestilah selesai di peringkat sekolah pada akhir Januari. Pihak sekolah mestilah menyerahkan kutipan tersebut kepada pihak Jabatan pada akhir Februari. Sementara pihak Jabatan dikehendaki menghantar kutipan tersebut kepada pihak Jabatan dikehendaki menghantar kutipan tersebut kepada Ibu Pejabat STMSB selewat-lewatnya akhir Mac.
4.5 Pihak sekolah bolehlah mendapatkan kerjasama dari berbagai pihak seperti PIBG bagi membantu pelajar yang tidak mampu untuk menjelaskan bayaran dalam tempoh yang ditentukan.

5. Tuntutan Pampasan
5.1 Bagi memudahkan urusan tuntutan, pelajar-pelajar atau waris mereka boleh mengemukakan tuntutan terus ke Pejabat STMSB yang berdekatan melalui sekolah dimana pelajar berkenaan didaftarkan. Semua tuntutan hendaklah dikemukakan dengan menggunakan Borang Tuntutan (seperti Lampiran A)dan disokong oleh dokumen-dokumen berkaitan sebagaimana yang ditentukan oleh STMSB.
5.2 STMSB akan menimbang dan mengurus tuntutan pelajar-pelajar berkenaan atau waris mereka melalui sekolah dimana pelajar berkenaan didaftarkan.
5.3 Semua bayaran tuntutan akan dibuat atas nama sekolah. Sementara itu sekolah pula bertanggungjawab membuat bayaran tuntutan berkenaan kepada pelajar atau ahli warisnya.
5.4 Bagi melicinkan pentadbiran, satu penyata tuntutan yang telah dibayar dan diselesaikan berserta dengan tuntutan yang masih dipertimbangkan akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan secara bulanan oleh STMSB.

6. Hal-hal Lain
6.1 Maklumat terperinci boleh didapati dari Garis Panduan Skim Takaful ini yang dikeluarkan oleh pihak STMSB (seperti Lampiran B).
6.2 Pihak sekolah juga boleh merujuk kepada Cawangan-cawangan Takaful yang terdekat atau menghubungi terus Ibu Pejabat STMSB jika memerlukan penjelasan atau sebarang kemusykilan.

No comments:

Post a Comment