PUTRAJAYA 31 Mei - Satu mekanisme pemantauan yang berkesan perlu diwujudkan agar garis panduan dalam Pelan Pendidikan Sekolah Berasrama Penuh (PPSBP) dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana menyediakan garis panduan sahaja adalah tidak mencukupi untuk menjana kecemerlangan sesebuah sekolah berasrama penuh (SBP).
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu juga adalah penting agar SBP dapat terus menjadi model untuk kecemerlangan secara menyeluruh.
"Saya berharap agar Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster dapat menyediakan mekanisme pemantauan berdasarkan garis panduan dalam PPSBP.
"Bahagian itu juga dapat menyediakan Laporan Kemajuan untuk bahagian dan semua SBP yang boleh digunakan sebagai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI)," katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang SBP Ke-36 dan Pelancaran Buku PPSBP 2008-2015 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Pelan PPSBP 2008-2015 itu bertujuan menjana kecemerlangan SBP dengan lebih terancang lagi.
Pada majlis itu, Kolej Tunku Khursiah, Negeri Sembilan memenangi Anugerah SBP Cemerlang Keseluruhan 2008 manakala Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak menerima Anugerah Khas Asrama Terbilang.
Seramai 1,900 peserta terdiri daripada pengetua, guru dan pelajar dari 55 buah SBP seluruh negara menyertai Hari Kecemerlangan SBP ke-36 yang berlangsung enam hari bermula 28 Mei lalu.
Muhyiddin menambah, langkah pemantauan itu memerlukan kerjasama bahagian-bahagian lain dalam kementerian bagi memastikan usaha menjana kecemerlangan di SBP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Saya pasti langkah pemantauan SBP di seluruh negara memerlukan kerjasama bahagian lain di kementerian, terutamanya Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti serta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan," katanya.
No comments:
Post a Comment